
Sekolah Pengajian Asia yang pada awalnya dikenali sebagai Institut Bahasa-bahasa Asia dan Afrika ditubuhkan pada tahun 1961. Kini, Sekolah Pengajian Asia merupakan salah satu sekolah utama di China yang paling banyak menawarkan program bahasa asing Asia dan paling panjang sejarah penubuhannya. Sekolah Pengajian Asia menawarkan 30 program bahasa asing Asia, antaranya 22 program (termasuk 23 jenis bahasa asing) telah mengambil pelajar. Terdapat 14 program di sekolah ini merupakan program Kelas Pertama di Peringkat Kebangsaan, antaranya ialah bahasa Korea, bahasa Melayu, bahasa Sinhala, bahasa Thai, bahasa Turki, bahasa Parsi, bahasa Kemboja, bahasa Laos, bahasa Myanmar, bahasa Hindi, bahasa Vietnam, bahasa Indonesia, bahasa Bangali, bahasa Sanskrit dan Pali. Di samping itu, bahasa Filipina, bahasa Mongolia, bahasa Nepal, bahasa Urdu, bahasa Hebrew dan bahasa Armenia pula merupakan Program Kelas Pertama di Peringkat Bandar Beijing. Sekolah Pengajian Asia mempunyai tenaga pensyarah yang berkepakaran dan berkredibiliti tinggi, di samping menjemput ramai pakar dalam pelbagai bidang dari negara-negara Asia yang lain untuk menyumbangkan kepakaran dan kemahiran mereka, sama ada tenaga pakar jangka masa panjang dalam bidang kesusasteraan dan pendidikan, atau tenaga pakar jangka masa pendek dalam bidang hubungan antarabangsa, undang-undang dan sejarah.
Bahasa Melayu berasal dari keluarga rumpun bahasa Melayu-Polinesia iaitu keluarga rumpun bahasa Austronesia dan digunakan secara meluas di rantau Nusantara, Asia Tenggara. Bahasa Melayu juga merupakan bahasa kebangsaan di Malaysia, Brunei dan Singapura. Pada tahun 1962, pengajian bahasa Melayu yang pertama telah ditubuhkan oleh Profesor Wu Zongyu dan ditempatkan di Institut Bahasa-bahasa Asia dan Afrika, Beijing Foreign Studies University (BFSU). Jabatan Pengajian Melayu mempunyai sejarahnya yang melebihi 60 tahun dan telah berjaya melahirkan graduan seramai 380 orang dalam 20 kumpulan pelajar di seluruh negara China. Program pengajian Melayu di BFSU mempunyai dua peringkat, iaitu peringkat Ijazah Sarjana Muda yang mengambil masa empat tahun dan Ijazah Sarjana yang mengambil masa tiga tahun. Program ini memberi pemfokusan terhadap pengajaran bahasa dan kesusasteraan Melayu, yang bermatlamat bagi memupuk penutur China yang berkebolehan menguasai bahasa Melayu dengan baik serta menguasai kemahiran mendengar, bertutur, membaca, menulis dan menterjemah. Namun, ia tidak terhad kepada kajian bahasa Melayu sahaja, sebaliknya merangkumi kebudayaan dan kemasyarakatan Melayu supaya siswa-siswi selain fasih bertutur bahasa Melayu dapat juga menyelami pemikiran orang Melayu kerana itulah kunci berkomunikasi yang dapat menjalinkan hubungan persahabatan dan persaudaraan.
Hubungan dan kerjasama yang erat antara China, Malaysia, Brunei dan Singapura telah terjalin sekian lama. Hubungan dan kerjasama yang baik ini telah menggalakkan perkembangan pengajian bahasa Melayu di BFSU. Pada 20 Jun 1997, Pusat Bahasa Melayu telah ditubuhkan di BFSU sebagai hasil persetujuan antara kerajaan Malaysia dan kerajaan China untuk bekerjasama dalam bidang pendidikan khususnya mengenai pengajaran bahasa Melayu di China. Seterusnya, pada 1 September 2005, dengan kelulusan Kementerian Pendidikan China-Malaysia, Pusat Pengajian Melayu China telah ditubuhkan secara rasmi di BFSU dan dirasmikan oleh Dato’ Sri Najib yang ketika itu selaku Timbalan Perdana Menteri Malaysia.
Sejak penubuhan pusat ini di BFSU, tenaga pengajar dan para pelajar di Jurusan Bahasa Melayu telah menjadikannya sebagai platform bagi memperkenalkan pertukaran pendidikan dan kebudayaan antara China dan Malaysia. Profesor Wu Zongyu sebagai perintis bagi penubuhan pengajian bahasa Melayu telah dinobat sebagai "Tokoh Pejuang Bahasa Melayu Antarabangsa" oleh kerajaan Malaysia pada 2011 bagi menghargai jasa baik serta sumbangan beliau dalam mengembangkan pengajian bahasa Melayu di China. Pada tahun 2014, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang pada ketika itu ialah Timbalan Perdana Menteri Malaysia telah menganugerahkan BFSU sijil “Pangkalan Pengembangan Bahasa Melayu di China”. BFSU juga merupakan universiti satu-satunya di China yang menerima anugerah ini. Pada 4 Januari 2019, dengan bantuan dan sokongan Education Malaysia Beijing, Kedutaan Besar Malaysia ke China, Mesyuarat Meja Bulat Perkembangan Jurusan Bahasa Melayu di China buat kali pertama telah diadakan di BFSU. Sekretariat Penggerak Pengajian Melayu China (SPPMC) turut ditubuhkan dan diletakkan di bawah pentadbiran BFSU. Manakala, Profesor Dr. Su Yingying sebagai Dekan Sekolah Pengajian Asia dari BFSU telah dilantik sebagai pengerusi sekretariat tersebut. Dalam tempoh 20 tahun ini, pengajian bahasa Melayu BFSU telah bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi di Malaysia dan Brunei. Pada masa yang sama, pengajian bahasa Melayu juga telah menganjurkan pelbagai seminar antarabangsa dalam bidang pengajian Melayu. Dengan hal yang demikian, pengajian bahasa Melayu BFSU telah menikmati reputasi yang baik dari aspek kebudayaan dan pendidikan di Malaysia dan Brunei.
Sebagai pangkalan penghasilan siswazah kelas pertama di peringkat kebangsaan, pengajian bahasa Melayu mempunyai asas pembelajaran dan pengajaran yang kukuh dan sistem kurikulum yang lengkap. Pengajian bahasa Melayu mempunyai tenaga pengajar yang mahir dan berkaliber iaitu lima orang pensyarah China dan seorang pakar asing dari Malaysia. Antara lima orang pensyarah China, terdapat empat orang mempunyai gelaran Profesor atau Profesor Madya.
Sejak penubuhannya pada enam dekad yang lalu, pengajian bahasa Melayu terus komited melunaskan tugas dan tanggungjawab dengan menghantar belasan kumpulan pelajar ke Malaysia dan Brunei untuk menimba ilmu di institusi pengajian tinggi yang terkemuka di kedua-dua negara tersebut. Selain itu, pelajar yang cemerlang juga berpeluang untuk belajar di luar negara dengan tajaan Majlis Biasiswa China. Selanjutnya, pengajian bahasa Melayu telah berjaya melahirkan ratusan siswazah yang berkualiti dan berdaya saing bagi pembangunan negara China. Antaranya ialah seperti Kementerian Luar Negeri, Kementerian Kebudayaan, Agensi Berita Xinhua, Kumpulan Media China, Bank China, Institusi Pengajian Tinggi, perusahaan negara dan syarikat-syarikat asing yang terkemuka. Sehubungan dengan ini, atas komited dan dedikasi yang ditunjukkan, para graduan BFSU telah mendapat pujian daripada pihak majikan masing-masing.