Perpustakaan BFSU kini mempunyai koleksi buku yang terdiri daripada 74 jenis bahasa, seperti bahasa China, bahasa Inggeris, bahasa Perancis, bahasa Rusia, bahasa Jerman, bahasa Sepanyol, bahasa Jepun dan bahasa Arab. Koleksi-koleksi buku ini merangkumi sejumlah hampir 1.57 juta buku kesusasteraan, 2.16 juta buku berbentuk elektronik, 1,081 jenis surat khabar terbitan bahasa China dan bahasa asing, serta lebih 10,000 keping pelbagai bahan audio-visual, 38,000 jurnal teks elektronik dalam bahasa China dan bahasa asing, 107 pangkalan data dalam bahasa China dan bahasa asing dan 9 pangkalan data yang menampilkan ciri istimewa yang dibina sendiri. Kebanyakan koleksi buku ini terdiri daripada bidang linguistik, kesusasteraan dan kebudayaan yang menjadikan perpustakaan ini unik dan istimewa. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, sejajar dengan pencapaian akademik universiti, penambahan koleksi-koleksi buku dalam pelbagai bidang seperti undang-undang, diplomasi, ekonomi, kewartawanan dan pengurusan secara tidak langsung telah memperkaya koleksi buku yang sedia ada di BFSU.
Perpustakaan baharu setinggi enam tingkat ini telah dibina dan dibuka sepenuhnya pada tahun 2013. Perpustakaan ini berkeluasan seluas 23,000 meter persegi dan menyediakan lebih kurang sebanyak 2,200 buah kerusi, 18 buah bilik mengulang kaji pelajaran, dewan kuliah, dewan seminar akademik dan bilik untuk sebarang latihan yang dianjurkan oleh pihak BFSU. Sementara itu, tempat kebudayaan dan riadah seperti ruang pameran dan kafe juga disediakan.
Perpustakaan ini turut menawarkan akses Wi-Fi dan menyediakan kemudahan mesin pemulangan buku automatik secara layan diri. Mesin automatik ini beroperasi selama 24 jam dan membolehkan pemulangan buku dilakukan pada bila-bila masa sahaja. Selain itu, perpustakaan ini turut menyediakan mesin pencetak, mesin pengimbas, peranti peminjaman-pemulangan buku, navigasi elektronik dan surat khabar versi elektronik. Malah, perpustakaan ini menyediakan kawasan khusus untuk membaca bahan bacaan elektronik dan pembelajaran multimedia. Sudut informasi tambahan juga diletakkan di setiap penjuru perpustakaan bagi memudahkan para pelajar untuk memperolehi maklumat.
Perpustakaan BFSU berpegang teguh pada falsafah universiti iaitu “asing, istimewa dan berkemahiran tinggi”, berorientasikan modal insan dan bertindak balas selaras dengan perubahan dalam ekonomi yang berasaskan ilmu pengetahuan dan pembangunan digital. Di samping itu, perpustakaan ini turut menyediakan perkhidmatan informasi dan sokongan akademik yang lengkap menerusi sumber maklumat terkini, persekitaran pembelajaran yang selesa, perkhidmatan mesra pengguna dan kemudahan teknologi moden dan terkini. Dalam cakupan yang lain pula, perpustakaan ini berupaya mengumpulkan sumber-sumber akademik dan sumber bacaan yang lain dalam kepelbagaian bahasa asing yang lain dan memberi pemfokusan bagi menjadikan perpustakaan sebagai pusat pengumpulan maklumat dan pertukaran kebudayaan untuk integrasi dan budaya antara universiti.