Universiti Pengajian Bahasa-bahasa Asing Beijing, atau BFSU, yang terletak di Jalan Utara Xisanhuan, Daerah Haidian Beijing mempunyai dua buah kampus berasingan yang masing-masing terletak di sebelah timur dan barat Jalan Sanhuan. BFSU merupakan sebuah universiti yang terkemuka di China dan ditadbir oleh Kementerian Pendidikan. BFSU tersenarai antara universiti terbaik di bawah projek 985 dan 211 dan kedua-dua projek ini merupakan program pembangunan universiti yang dilancarkan oleh Kementerian Pendidikan. Selain itu, BFSU juga tersenarai antara universiti di bawah “Projek Dua Kelas yang Pertama di China”.
Pada tahun 1941, Kumpulan Bahasa Rusia dalam Cawangan Ketiga Kolej Tentera dan Politik Anti-Jepun telah ditubuhkan. Kemudian, kumpulan ini dinamakan sebagai Sekolah Bahasa Asing Suruhanjaya Tentera Pusat di bawah kepimpinan Parti Komunis China. Setelah Republik Rakyat China ditubuhkan, pengurusan sekolah ini diletakkan di bawah pentadbiran Kementerian Luar Negeri. Sekolah ini kemudiannya ditukar nama kepada Institut Bahasa Asing Beijing pada tahun 1954 dan seterusnya digabungkan dengan Kolej Bahasa Rusia Beijing pada tahun 1959. Selanjutnya, pada tahun 1980, institut ini diletakkan di bawah pentadbiran Kementerian Pendidikan dan pada tahun 1994 secara rasminya dinamakan sebagai Beijing Foreign Studies University.
Kini, BFSU telah menawarkan sebanyak 101 jenis program bahasa asing. Pengajaran bahasa Eropah, Asia dan Afrika di BFSU menjadikan universiti ini sebagai pangkalan pengajaran bahasa kurang popular yang terbesar di China. Malah, program ini merupakan program pengajaran khas di bawah Kementerian Pendidikan. Rentetan dari ini, nama BFSU terus dikenali menerusi kepakarannya dalam menawarkan pengajian dalam bidang bahasa dan kesusasteraan asing. Selain itu, BFSU turut menawarkan pelbagai program dalam bidang lain antaranya ialah kemanusiaan, undang-undang, ekonomi, pengurusan, pendidikan dan sebagainya. Program-program bahasa yang ditawarkan di BFSU (mengikut susunan kronologi) termasuk bahasa Rusia, bahasa Inggeris, bahasa Perancis, bahasa Jerman, bahasa Sepanyol, bahasa Poland, bahasa Czechoslovakia, bahasa Romania, bahasa Jepun, bahasa Arab, bahasa Kemboja, bahasa Laos, bahasa Sinhala, bahasa Melayu, bahasa Sweden, bahasa Portugis, bahasa Hungary, bahasa Albania, bahasa Bulgaria, bahasa Swahili, bahasa Myanmar, bahasa Indonesia, bahasa Itali, bahasa Croatia, bahasa Serbia, bahasa Hausa, bahasa Vietnam, bahasa Thai, bahasa Turki, bahasa Korea, bahasa Slovak, bahasa Finland, bahasa Ukraine, bahasa Belanda, bahasa Norway, bahasa Iceland, bahasa Denmark, bahasa Greek, bahasa Filipina, bahasa Hindi, bahasa Urdu, bahasa Ibrani, bahasa Parsi, bahasa Slovenia, bahasa Estonia, bahasa Latvia,bahasa Lithuania,bahasa Ireland, bahasa Malta, bahasa Bangali, bahasa Kazakh, bahasa Uzbek, bahasa Latin, bahasa Zulu, bahasa Kyrgyz, bahasa Pashto, bahasa Sanskrit, bahasa Pali, bahasa Amharic, bahasa Nepal, bahasa Somali, bahasa Tamil, bahasa Turkmen, bahasa Catalonia, bahasa Yoruba, bahasa Mongolia, bahasa Armenia, bahasa Madagascar, bahasa Georgia, bahasa Azerbaijani, bahasa Afrikaans, bahasa Macedonia, bahasa Tajiki, bahasa Tswana, bahasa Ndebele, bahasa Comorian, bahasa Creole, bahasa Shona, bahasa Tigrinya, bahasa Belarusia, bahasa Maori, bahasa Tonga, bahasa Samoan, bahasa Kurdish, bahasa Bislama, bahasa Dari, bahasa Tetum, bahasa Dhivehi, bahasa Fiji, bahasa Maori Kepulauan Cook, bahasa Kirundi, bahasa Luxembourg, bahasa Kinyarwanda, bahasa Niue, bahasa Tok Pisin, bahasa Chewa, bahasa Sesotho, bahasa Sango, bahasa Tamazight, bahasa Jawa, dan bahasa Punjabi. BFSU amat berpegang teguh terhadap Semangat Yan’an dan mematuhi dasar untuk berkhidmat kepada negara. Hingga kini, bagi menjalin hubungan diplomatik yang baik, BFSU telah menawarkan program bahasa yang meliputi semua bahasa rasmi di negara-negara asing yang telah menjalinkan hubungan diplomatik dengan China.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, BFSU diperlihatkan amat komited untuk mendorong pembaharuan model pemupukan modal insan. Hal ini dapat dilihat menerusi penambahan pembinaan sekolah, jabatan, pusat penyelidikan dan beberapa bangunan baharu yang dibina di BFSU. Antaranya termasuk Jabatan Bahan Pengajaran yang pertama ditubuhkan di universiti tempatan China, Kolej Beiwai, Sekolah Pertubuhan Antarabangsa, Sekolah Pengajian Siswazah, Makmal Kecerdasan Buatan BFSU (BFSU•AI), Akademi Komunikasi Antarabangsa Kebudayaan Cina dan Pusat Penyelidikan Kapasiti Terjemahan dan Tafsiran Negara. Selain itu, Institut Pengajian Asia dan Afrika telah dipecahkan kepada dua institut yang berasingan iaitu Institut Pengajian Asia dan Institut Pengajian Afrika. Selain itu, BFSU mempunyai 52 pusat penyelidikan di peringkat negara, provinsi dan kementerian. Antaranya, termasuk sebuah pusat penyelidikan utama sains sosial dan kemanusiaan di bawah Kementerian Pendidikan (Pusat Penyelidikan Pendidikan Bahasa Asing), sebuah makmal penyelidikan falsafah dan sains sosial di bawah kelolaan Kementerian Pendidikan, iaitu BFSU•AI, sebuah pusat penyelidikan di bawah pentadbiran Suruhanjaya Bahasa Negara (Pusat Penyelidikan Negara untuk Kapasiti Bahasa Negara), empat pusat penyelidikan daerah dan negara di bawah pentadbiran Kementerian Pendidikan China (Pusat Pengajian Eropah Tengah dan Timur, Pusat Pengajian Jepun, Pusat Pengajian British dan Pusat Pengajian Kanada), 37 buah pusat pengajian daerah dan negara yang berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan dan tiga buah pusat penyelidikan bagi pertukaran dan komunikasi di bawah Kementerian Pendidikan (Pusat Penyelidikan dan Pertukaran Masyarakat China-Indonesia, Pusat Penyelidikan dan Pertukaran Masyarakat China-Perancis dan Pusat Penyelidikan dan Pertukaran Masyarakat China-Jerman). BFSU juga mempunyai sebuah pusat penyelidikan utama untuk falsafah dan sains sosial Beijing dan sebuah pangkalan penyelidikan utama untuk menguruskan pendidikan mengikut undang-undang Beijing. BFSU juga tersenarai sebagai salah satu pangkalan utama Pengajian Bahasa Negara yang pertama dan Pusat Pangkalan Pengajian Pemikiran Xi Jinping mengenai Sosialisme Bercirikan China untuk era baharu. Selain itu, BFSU juga dianugerahkan sebagai Pusat Inovasi Kolaboratif untuk penyelidikan teori mengenai sosialisme bercirikan China dalam kalangan universiti di Beijing.
BFSU telah menerbitkan empat buah jurnal di peringkat CSSCI (Pengajaran dan Penyelidikan Bahasa Asing, Kesusasteraan Asing, Forum Antarabangsa dan Pendidikan Bahasa Asing di China), dua buah jurnal CSSCI versi lanjutan (Sinologi Antarabangsa dan Pengajaran Bahasa Rusia di China), tujuh buah jurnal akademik bahasa China yang lain, sebuah jurnal bahasa Inggeris ESCI (Jurnal Linguistik Gunaan di China) dan 12 buah jurnal bahasa asing lain yang diterbitkan dalam 7 jenis bahasa seperti bahasa Inggeris, bahasa Perancis, bahasa Sepanyol, bahasa Arab, bahasa Rusia, bahasa Jerman dan bahasa Portugis. Di samping itu, BFSU juga mengendalikan Penerbit Pengajaran dan Penyelidikan Bahasa Asing (FLTRP) iaitu penerbit yang terbesar di China yang mengedarkan buku, produk audio-visual dan produk digital dalam bahasa asing.
BFSU menawarkan 121 program di peringkat siswazah (Ijazah Sarjana Muda) dan 47 daripada program ini adalah program yang satu-satunya ditawarkan di China. 54 daripada program-program ini adalah merupakan perintis kepada program-program kelas pertama di peringkat negara. 18 daripadanya adalah program kelas pertama di peringkat provinsi. Seterusnya, 8 daripada pencapaian pengajaran telah memenangi Anugerah Pencapaian Pengajaran dan Pendidikan Tinggi Beijing pada tahun 2021. Antaranya ialah seperti "Model BFSU Memupuk Modal Insan Pelbagai Bahasa dan Menguruskan Hal Ehwal Global" telah memenangi Anugerah Khas.
BFSU menawarkan empat bidang utama di peringkat kebangsaan (termasuk bidang baharu) dan tujuh bidang utama di peringkat bandar Beijing. BFSU juga menawarkan program Ijazah Kedoktoran di bawah dua subjek Disiplin Peringkat Pertama (Bahasa dan Kesusasteraan Asing; Pengurusan Sains dan Kejuruteraan), program Ijazah Sarjana di bawah 11 subjek Disiplin Peringkat Pertama (Bahasa dan Kesusasteraan Asing, Bahasa dan Kesusasteraan China, Kewartawanan dan Komunikasi, Undang-undang, Sains Politik, Teori Marxis, Ekonomi Penggunaan, Pengurusan Sains dan Kejuruteraan, Pentadbiran Industri dan Perniagaan, Pendidikan dan Sejarah Dunia) dan program Ijazah Sarjana Profesional dalam lapan subjek (Penterjemahan, Pengajaran Antarabangsa Bahasa China, Perniagaan Antarabangsa, Kewangan, Kewartawanan dan Komunikasi, Undang-undang, Perakaunan dan MBA). Program-program ini meliputi tujuh bidang iaitu Kesusasteraan, Ekonomi, Pengurusan, Undang-undang, Pendidikan, Sejarah dan Kejuruteraan. Seterusnya, program bahasa dan kesusasteraan asing telah disenaraikan dalam Projek Dua Kelas yang Pertama peringkat negara, manakala program pendidikan bahasa asing dikenali sebagai antara program yang berkualiti tinggi dalam kalangan universiti Beijing. Program bahasa dan kesusasteraan asing di BFSU dianugerahkan A+ dalam penilaian disiplin pusingan keempat di China dan diiktiraf sebagai program nombor satu di China. Menurut QS kedudukan universiti global pada tahun 2023, program Linguistik, program Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris serta program Bahasa Moden di BFSU masing-masing berada pada kedudukan ke-45, ke-101 hingga ke-150 dan ke-151 hingga ke-200. Sehubungan dengan ini, BFSU telah mendahului universiti-universiti lain yang menawarkan bidang yang serupa di China.
Kini, BFSU mempunyai lebih daripada 5,700 pelajar di peringkat siswazah (Ijazah Sarjana Muda), 3,900 pelajar di peringkat Pascasiswazah (Ijazah Sarjana dan Kedoktoran) dan 1,300 pelajar antarabangsa.
BFSU memberi pemfokusan terhadap mekanisme inovasi pengurusan bakat bagi meningkatkan tahap kepakaran tenaga pengajarnya secara menyeluruh. BFSU mempunyai lebih daripada 1,300 orang pensyarah dan staf sepenuh masa dan hampir 200 pensyarah asing dari 65 buah negara dan wilayah. BFSU mempunyai tenaga kepakaran dalam kalangan pensyarah dan telah memenangi beberapa anugerah. Antaranya ialah “Pingat Persahabatan” Republik Rakyat China, anugerah pensyarah cemerlang negara, pakar peringkat kebangsaan dengan sumbangan cemerlang, profesor cemerlang “Program Anugerah Sarjana Changjiang”, Sarjana Muda Yangtze dan bakat terkemuka dalam falsafah dan sains sosial Program Sokongan Khas Kebangsaan untuk Bakat Peringkat Tinggi, pensyarah dan bakat muda cemerlang, bakat dalam Projek Ratusan dan Ribuan Bakat Kebangsaan dan “empat kelompok” negara China dan lain-lain lagi. Selain itu, di BFSU terdapat hampir 90% pensyarah yang mempunyai pengalaman menuntut di luar negara. Golongan pengajar Pusat Penyelidikan Bahasa dan Pendidikan Asing China BFSU serta golongan latihan tadbir urus global dan bakat organisasi antarabangsa BFSU telah dipilih sebagai “Golongan Pensyarah yang Mewarisi Semangat Huang Danian antara Universiti di China”.
BFSU telah bekerjasama dengan hampir 299 buah universiti dan institut pengajian tinggi di 84 buah negara dan daerah. BFSU telah mewujudkan hubungan kerjasama dengan universiti di luar negara yang terkemuka seperti Universiti Brown di Amerika Syarikat, Universiti Edinburgh di United Kingdom, Universiti Heidelberg di Jerman, Universiti Kebangsaan Moscow di Rusia, Universiti Toronto di Kanada, Institut Bahasa Oriental dan Budaya di Paris, Perancis, Universiti Tokyo di Jepun, dan Universiti Teknologi Nanyang di Singapura dan sebagainya. BFSU juga turut bekerjasama dengan universiti-universiti asing di luar negara untuk menubuhkan 23 Institut Kongzi dan Kelas Kongzi di 18 buah negara. Tujuh daripada Institut Kongzi ini adalah model Institut Kongzi. Mengikut turutan masa pembukaan, Institut Kongzi dan Kelas Kongzi tersebut termasuk Institut Kongzi Nürnberg-Erlangen, Jerman; Institut Kongzi Brussels, Belgium; Institut Kongzi University of Vienna, Austria; Institut Kongzi University of Rome La Sapienza, Itali; Institut Kongzi Krakow, Poland; Institut Kongzi Liege, Belgium; Institut Kongzi Düesseldorf, Jerman; Institut Kongzi Eötvös Loránd University, Hungary; Institut Kongzi Sofia, Bulgaria; Institut Kongzi Palacky University, Republik Czech; Institut Kongzi Munich, Jerman; Institut Kongzi untuk Pengajaran Bahasa China University of Malaya, Malaysia; Institut Kongzi Hankuk University of Foreign Studies, Republik Korea; Institut Kongzi Barcelona, Spain; Institut Kongzi Moscow State Linguistic University, Rusia; Institut Kongzi Zayed University, UAE; Institut Kongzi University of Tirana, Albania; Institut Kongzi University of Göttingen, Jerman; Institut Kongzi Oxford Brooks University, UK; Institut Kongzi University of Colombo, Sri Lanka; Institut Kongzi ESCP Europe, Perancis; Kelas Kongzi Maryknoll School, USA dan Institut Kongzi Dalam Talian Universiti Terbuka, UK.
Perpustakaan BFSU mempunyai koleksi hampir 1.57 juta buku sama ada dalam bahasa China atau bahasa asing, 2.16 juta e-buku bahasa China dan bahasa asing, 1,081 jenis jurnal dan akhbar bahasa China dan bahasa asing serta 107 pangkalan data. Perpustakaan BFSU memperlihatkan ciri-ciri yang istimewa dan khusus iaitu bahan-bahan bacaan kebanyakannya bertemakan bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan. Pada tahun-tahun kebelakangan ini, perpustakaan BFSU memperbanyakkan koleksi-koleksi bukunya yang meliputi bidang politik, undang-undang, diplomasi, ekonomi, kewartawanan dan pengurusan. BFSU akan terus menggunakan informasi teknologi yang terkini dan moden untuk menyediakan sebuah pusat penyediaan informasi berkonsep keterbukaan, pintar, inovatif dan bersepadu. Di samping itu, BFSU membangunkan platform perisian seperti laman web kepelbagaian bahasa, BFSU digital, pusat data, pengajaran dalam talian dan sumber pengajaran serta membina bilik kuliah dan persekitaran pembelajaran pintar yang telah melahirkan sejumlah modal insan yang cemerlang. Pada tahun 2021, BFSU melaksanakan projek perintis percubaan di bawah program MOE untuk pusingan pertama bagi mempromosikan aplikasi AI (Artificial Inteligence) untuk pembangunan tenaga pengajar di universiti China dan mengeluarkan Inisiatif BFSU bagi Memperkasakan Pensyarah Universiti menerusi Teknologi AI (Artificial Inteligence). BFSU akan membina sebuah Muzium Bahasa Dunia yang akan dijadikan sebagai mercu tanda bahasa dan budaya dan juga sebuah lagi Muzium Sejarah BFSU yang akan dibangunkan kelak.
BFSU mewarisi “gen merah” bagi melaksanakan strategi negara, dan mematuhi falsafah iaitu “penguasaan bahasa asing” dan berpegang kepada moto “Belajar dengan keterbukaan minda, berkhidmat untuk wawasan yang lebih cemerlang”. Di samping itu, BFSU meneruskan budaya kampus “merah, profesional dan elegan”, memupuk semangat dan melaksanakan tugas asas untuk integriti moral. BFSU telah menawarkan sejumlah besar graduan yang berkelayakan dan berkredibiliti tinggi. Para graduan ini berkhidmat sama ada di dalam negara dan juga di luar negara sebagai diplomat, penterjemah, usahawan, wartawan, peguam, pengurus bank dan sebagainya. Para graduan dari BFSU ini telah terlibat secara aktif dalam pelbagai bidang dan telah memperolehi pencapaian cemerlang serta telah menjadi pemimpin elit dan menjadi tonggak kepada masyarakat. Setakat ini, antara alumni BFSU, seramai 400 orang telah menjadi duta besar dan lebih daripada 2,000 orang menjadi konsulat. Oleh yang sedemikian, BFSU telah mendapat nama jolokan sebagai “Buaian Diplomat”.
Pada masa kini, BFSU menjunjung tinggi panji besar sosialisme bercirikan China, berpandukan pemikiran sosialisme bercirikan China pada era baharu yang dikemukakan oleh Presiden Xi Jinping, melaksanakan sepenuhnya semangat Kongres Kebangsaan Ke-20 Parti Komunis China, mematuhi amanat penting Presiden Xi Jinping mengenai pendidikan, menghayati semangat dalam Persidangan Pendidikan Kebangsaan dan semangat dalam surat Presiden Xi Jinping kepada profesor-profesor yang telah lama berkhidmat di BFSU. Selain itu, BFSU akan terus melaksanakan semangat Persidangan Wakil-wakil Parti Komunis China Ke-10 dan perancangan Lima Tahun Ke-14 BFSU dengan mematuhi dan mengukuhkan kepimpinan keseluruhan Parti Komunis China, di samping melaksanakan strategi untuk mengukuhkan pencapaian BFSU dengan meningkatkan kapasiti ahli akademik, mengharumi nama BFSU dengan menggalakkan pencapaian ilmiah dan membawa BFSU ke tahap yang lebih tinggi di peringkat global. BFSU berwawasan untuk menjadi sebuah universiti pengajian bahasa asing yang bertaraf dunia, mempunyai ciri-ciri yang tersendiri dan mempunyai kemampuan komprehensif. BFSU akan terus mengekalkan moto universiti agar graduan dapat “menghubungi dunia dengan bahasa, memberikan manfaat kepada dunia”. BFSU juga bertekad untuk memupuk lebih ramai modal insan yang mencintai tanah air, berpaksikan dimensi global dan berkemahiran profesional supaya memberikan sumbangan yang lebih besar untuk mempromosikan China di persada dunia, di samping mendorong masyarakat antarabangsa lebih mengenali China!