
Persidangan Tahunan Mekanisme Pertukaran Persekutuan Universiti China-Afrika telah membuka tirainya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Beijing pada 5 September. Persidangan ini dianjurkan oleh Beijing Foreign Studies University (BFSU) dan diadakan bersama oleh Sekretariat serta Institut Penyelidikan China bagi Mekanisme Pertukaran Persekutuan Universiti China-Afrika. Tema persidangan kali ini adalah “Perkembangan Kerjasama Pendidikan Tinggi China-Afrika dalam Era Digital”. Terdapat ramai wakil telah menghadiri persidangan tersebut. Antaranya adalah daripada lebih 50 universiti di China dan 35 universiti di 19 negara Afrika termasuk Tanzania, Nigeria, Afrika Selatan, Kenya, Ethiopia, Tunisia, Ghana, Uganda, Rwanda, Cameroon, Malawi, Benin, Republik Demokratik Congo, Mozambique dan Somalia.
Majlis perasmian persidangan ini turut dihadiri oleh Wu Yan, Timbalan Menteri Pendidikan China, Delphine Edith Emmanuel Adouki, Menteri Pendidikan Tinggi, Penyelidikan Saintifik, dan Inovasi Teknologi Republik Congo, Zhou Yu, Naib Presiden Persatuan Pendidikan Tinggi China, Pengarah China bagi Mekanisme Pertukaran Persekutuan Universiti China-Afrika merangkap ahli akademik Akademi Kejuruteraan China, Haja Ramatulai Wurie, Menteri Teknologi dan Pendidikan Tinggi Sierra Leone, dan Yusupha Touray, Setiausaha Agung Tetap Kementerian Pendidikan Tinggi, Penyelidikan, dan Teknologi Gambia. Para tetamu kehormat ini turut menyampaikan ucapan semasa majlis perasmian.
Selepas majlis perasmian, satu majlis penandatanganan projek utama kerjasama pendidikan China-Afrika dan pelancaran hasil kerjasama utama telah diadakan. Sebanyak 14 projek kerjasama pendidikan China-Afrika telah berjaya ditandatangani. Antara hasil penting yang dilancarkan ialah Koleksi Kes Kerjasama Pendidikan Tinggi China-Afrika dan Laporan Perkembangan Digital Pendidikan China-Afrika di bawah Mekanisme Pertukaran Persekutuan Universiti China-Afrika. Pada masa yang sama, ‘Platform Kerjasama Digital Mekanisme Pertukaran Persekutuan Universiti China-Afrika’ telah dilancarkan secara rasmi. Wang Dinghua, Pengerusi Majlis BFSU dan Pengarah Eksekutif pihak China bagi Mekanisme Pertukaran Persekutuan Universiti China-Afrika, serta Olusola Oyewole, Setiausaha Agung Persatuan Universiti Afrika dan Pengarah Eksekutif pihak Afrika, membentangkan laporan kerja Mekanisme Pertukaran Persekutuan Universiti China-Afrika masing-masing.
Tiga sesi dialog akademik khas berlangsung semasa persidangan ini. Para pemimpin dan tetamu dari ahli persekutuan universiti China-Afrika mengadakan perbincangan dan pertukaran mendalam mengenai topik seperti ‘Kerjasama Pendidikan dan Perkongsian Pengetahuan dalam Era Digital’, ‘Pendidikan Digital dan Komunikasi Silang Budaya’, ‘Kerjasama China-Afrika dan Pemupukan Bakat dalam Era Digital’ dan sebagainya.