UNIVERSITI PENGAJIAN

BAHASA-BAHASA ASING BEIJING

Kad Nama yang Paling Indah di Kampung Sukan Olimpik Musim Sejuk! Bagaimanakah Rasanya Bekerja Bersama-sama dengan Delegasi Luar Negara?

发布时间:2022-02-12

Menurut laporan di laman sesawang rasmi Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing pada 10 Februari, pada hari yang pertama Tahun Baharu China, Gao Xiaofan menerima panggilan kerja tanpa berhenti. Apabila menyelesaikan kerja yang berkenaan barulah beliau mendapati masanya telah menjelang pukul 6 pagi dan hari itu ialah hari lahirnya. Sebagai sukarelawan dari BFSU, beliau berkhidmat sebagai penolong delegasi Ukraine di Kampung Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing. Beliau juga merupakan salah seorang daripada lebih 900 sukarelawan dari BFSU yang menyertai kerja sokongan Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing kali ini.

“Semua orang adalah sama dan juga dihormati. Kami semua ialah rakan sekerja dan bekerja keras demi matlamat yang sama. Tidak kira tinggi rendah jawatan, tidak pula ada tekanan. Ini ialah persekitaran kerja impian saya,” kata Che Jiayi, sukarelawan yang ditugaskan sebagai penolong delegasi Amerika Syarikat. Ini juga perasaan Zou Guanglin, penolong delegasi Jepun. Bergurau bersama, menonton pertandingan bersama dan menyelesaikan masalah bersama, pengalaman ini membolehkan Guanglin merasakan erti perkataan “pasukan” dengan lebih mendalam.


Bagi sukarelawan, ini bukan sekadar peluang pekerjaan, tetapi juga peluang untuk meningkatkan kemampuan peribadi. Setiap orang sukarelawan merasakan bahawa walaupun masanya hanya sebulan sejak menyertai pasukan, mereka telah meningkatkan kemampuan sendiri secara keseluruhannya dari segi “membuat persiapan yang terbaik untuk memasuki masyarakat” jika berbanding dengan diri mereka semasa di universiti sebelum ini. Setiap delegasi yang bekerja bersama dengan mereka semasa Sukan Olimpik Musim Sejuk ialah guru dan kawan yang terbaik bagi mereka.

31 Januari ialah hari yang terakhir sebelum Tahun Baru China, dan juga merupakan hari berkumpul sekeluarga mengikut tradisi China. Walaupun kebanyakan sukarelawan tidak dapat merayakan hari itu kerana masing-masing mempunyai tugasan, tetapi masih terdapat banyak detik manis yang menghangatkan hati mereka. “Di dalam kereta ke stadium untuk latihan, pemain pasukan hoki ais berkata kepada saya, ‘Kesian sekali kamu tidak dapat berkumpul dengan keluarga pada Tahun Baru China ini, namun saya percaya mereka mesti berbangga dengan kamu.’” Apabila mengenangkan detik itu, Jiayi merasakan bahawa empati telah merentasi sempadan negara pada masa itu dan mendekatkan hati mereka.

Pada pukul 8 malam, 4 Februari 2022, apabila upacara pembukaan Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing bermula secara rasminya, tiada seorang sukarelawan pun dapat duduk di auditorium dan menikmati persembahan bunga api yang meletup di atas Sarang Burung. Mengalu-alukan delegasi memasuki stadium dan membimbing mereka ke tempat duduk di auditorium ialah tugas yang paling penting kepada setiap penolong delegasi pada malam itu. “Saya sedang menyaksikan sejarah, dan saya telah menjadi sebahagian daripada sejarah,” kata Zou Guanglin.



Dalam bas ulang-alik ke Kampung Sukan Olimpik Musim Sejuk pada setiap hari, Gao Xiaofan suka duduk di tepi tingkap kerana dalam perjalanan mereka, beliau sentiasa dapat melihat matahari terbit. Langit akan berubah daripada warna merah jambu kepada warna emas secara beransur-ansur. Pada tiap-tiap hari, terdapat banyak perkara yang perlu diselesaikan ketika bekerja, maka sukarelawan hampir tiada masa untuk berehat. Walau bagaimanapun, ini sudah menjadi hal yang lumrah kepada mereka.

2 North Xisanhuan avenue, district Haidian, Beijing

Copyright@BFSU.Support by ITC